Kerja kemanusiaan Nadir Al-Nuri

Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang dipelopori Nadir al-Nuri giat meneruskan perjuangan dengan mengumpul dana bagi membina semula kawasan di Genting Gaza. Pada tahun 2016, Cinta Gaza Malaysia giat mengumpul dana melalui dua projek untuk masyarakat di kawasan Sha'af dan Shijaiyyah di Gaza Tengah. Projek pertama ialah 'Aid For Education' (Bantuan Pendidikan) untuk Darul Arqam Sha'af dan Darul Arqam Mahattoh yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin, dan Madrasah Tuffah dan Madrasah Dalal Al-Moghrabi yang dimiliki pemerintah Palestin. Projek kedua pula ialah 'Aid For Winter' (Bantuan Musim Sejuk) yang meliputi bantuan musim sejuk di Gaza dan Khan Yunis[5].

Duta Muhibah #Aid4Palestine

Nadir Al-Nuri telah dipilih sebagai Duta Muhibah bagi Sekretariat Aid4Palestine[6], sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan Malaysia menerusi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bagi menyelaras bantuan daripada badan bukan kerajaan di Malaysia ke Palestin, pascaserangan awal ke atas Palestin dalam krisis Israel-Palestin 2021. Selain beliau, Abu Ayesh An-Najjar, Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Gaza turut dilantik.